KUALA LUMPUR – Walaupun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akur keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak kerjasama dengan Pas tetapi surat terbuka Rafizi Ramli telah melebarkan ‘perang saudara’ antara dua kelompok besar dalam parti itu.
Konflik itu secara tidak langsung mendedahkan betapa takutnya PKR jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi, pada pandangan kumpulan Mohamed Azmin, kemenangan Selangor perlu diutamakan, manakala peringkat persekutuan dikemudiankan.
Bagaimanapun, kata beliau, Rafizi menuduh Mohamed Azmin mahu menyelamatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
“Nampaknya PKR tetap menganggap Pas masih berpengaruh kepada orang Melayu bukannya Parti Amanah Negara (PAN).
“Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi bukti malapetaka akan melanda pembangkang jika pertandingan tiga penjuru berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.
Menurut Mohd Puad, tindakan Mohamed Azmin mengadakan perbincangan pintu belakang dengan Pas sebenarnya menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN bahawa mereka tidak semampu Pas untuk menarik sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH).
“PPBM dan PAN hanyalah parti tumpang semangkuk,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan, dalam PKR kini mempunyai dua kelompok besar iaitu kumpulan Rafizi termasuk Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution, Datuk Johari Abdul dan Nik Nazmi Ahmad.
Manakala yang menyokong Mohamed Azmin terdiri daripada N. Surendran, Xavier Jeyakumar, Tian Chua, Sivarasa Rasiah, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Datuk Saifuddin Abdullah.
“Berdasarkan senarai ini, kumpulan Mohamed Azmin nampak lebih kuat, tetapi kelebihan kumpulan Rafizi ialah mereka lebih dipercayai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun oenasihat PKR itu mendakwa dia merestui perbincangan pintu belakang Mohamed Azmin bersama Pas.
“Lagi pun Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah tentu memihak kepada kumpulan Rafizi sebab Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar sering membelakangkan pucuk kepimpinan PKR dalam membuat dasar di Selangor.
“Konflik ini merisaukan beberapa pihak yang propembangkang, antaranya Datuk Ambiga Sreenevasan. Mereka semakin bosan dengan perang saudara dalam PKR dan PH,” katanya.
Menurut Mohd Puad lagi, setelah letih membantu PH mensabotaj kerajaan melalui lima kali perhimpunan Bersih, sudah tentu Ambiga merasakan sumbangannya sia-sia kerana perang saudara berterusan dalam PKR.
Kumpulan itu dan pembangkang, katanya seperti mengharapkan PRU14 diadakan awal.
“Kekuatan PH ialah berbohong, tetapi mereka sedar pembohongan tidak boleh bertahan lama kerana lama kelamaaan apabila dakwaan mereka tidak boleh dipertahankan dan dibuktikan, maka rakyat akan mempersoalkan kredibiliti pembangkang.
“Rakyat turut penat dan bosan kepada marathon politik persepsi tanpa kesudahan. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah yang betul iaitu tanpa mempedulikan politik persepsi pembangkang, beliau terus berusaha menempa kejayaan negara dalam pelbagai bidang termasuk Sukan SEA KL 2017,” kata beliau.
Sebaliknya ujar Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ini, pembangkang semakin penat berbohong yang memakan diri sendiri.
“Sebab itu Pas meninggalkan PH. Sebab itu PPBM dan PAN tidak mendapat sambutan dan sebab itu hingga ke hari ini parti berkenaan tidak berani memgumumkan jumlah sebenar keahlian mereka.
“Natijahnya, kerana kehabisan modal untuk berbohong dan ulang tayang pembohongan yang tidak lagi laku, perang saudara bukan sahaja berlaku dalam PKR, tetapi sedang merebak dalam DAP, PAN dan PPBM.
“Kesudahannya perang saudara dalam PH dan jangan hairan DAP akan mengambil jalan sendiri pada PRU 14 ini nanti,” katanya. – MalaysiaGazette