Foto Instagram Laudya Cynthia Bella

KUALA LUMPUR – Pelakon filem Surga Tak Dirindukan, Laudya Cynthia Bella terus menghangatkan spekulasi pernikahannya dengan bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dijangka berlangsung pertengahan bulan ini.

Ini kerana aktres yang popular dengan panggilan Bella itu memuatkan rakaman video memaparkan satu acara yang dia meminta izin bernikah daripada ibu bapanya.

Video itu menjadi viral di laman sosial Instagram milik Bella, sejak semalam.

Dalam video berdurasi lebih 60 saat itu, pelakon berusia 29 tahun itu dilihat duduk di hadapan ibu bapanya.

“Hati dan cinta Bella, tetap untuk keluarga dan terima kasih untuk semuanya,” katanya sambil terus berkucupan dengan kedua orang tuanya, antara dialog yang diucapkan Bella dalam video itu.

Dalam foto yang dikongsi, Bella turut menyelitkan gambar surah Yasin yang tertera ‘BE’ dipercayai merujuk kepada namanya dan Emran.

Bella turut meluahkan isi hatinya dalam perkongsian itu.

“One step closer to the happiness. Ini ‘part of best moment in my life’, proses yang begitu cepat. Saya percaya dengan ‘takdir’,” tulisnya.

Bella menambah, proses hidup yang dijalani adalah takdir dan rencana yang dituliskan Allah.

“Saya boleh berencana tapi Allah yang menentukan. Ini adalah perjalanan hidup saya yang Allah atur. Proses demi proses selalu saya syukuri dan nikmati… Terimakasih ya Allah,” katanya.

Sementara itu, Engku Emran sehingga hari ini tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Kedua-dua personaliti itu mula menjalin hubungan beberapa bulan lalu selepas dikatakan diperkenalkan pelakon, Nora Danish.

Tidak mengambil masa yang lama untuk bercinta, pasangan yang berbeza jarak usia 13 tahun itu akhirnya dilaporkan memilih untuk disatukan, bulan ini.

Majlis itu dijangka berlangsung secara tertutup. – MalaysiaGazette