Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merujuk kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim Guan Eng.

Ia berikutan keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang itu memohon maaf di atas kenyataan fitnahnya terhadap penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai “penahanan haram oleh SPRM” walaupun telah diberi satu tempoh masa untuk beliau berbuat demikian .

“SPRM menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dengan tujuan mencemar serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana siasatan dan akan menhyiasat setiap kes tanpa mengambil kira jawatan, ideologi politik dan kedudukan individu yang disiasat itu.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung operasi kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Bagaimanapun, tahanan reman Boon Poh itu serta dua individu pemilik kilang berkenaan dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 14 Ogos selepas mendapati bertentangan dengan Seksyen 117 (5) Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette