Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPK) memulangkan paku buah keras kepada DAP dengan mengingatkan kepada parti cauvinis itu agar wajib memikirkan nasib mereka di Pulau Pinang yang hanya mempunyai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jumlah 19 kerusi yang dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dahulu tidak cukup untuk menjadi kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain.

Kata beliau, jumlah diperolehi DAP itu berbeza dengan 31 kerusi dimenangi Pas Kelantan, yang dianggap sudah mempunyai majoriti untuk menguasai negeri Serambi Mekah itu walaupun secara tunggal.

“Guan Eng mungkin mengalami sindrom kehilangan ingatan hingga mendakwa Pas berdepan risiko kehilangan Kelantan dalam PRU14 akan datang jika enggan menyertai pakatan pembangkang, sedangkan pihak yang mula-mula memutuskan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat (PR) ialah DAP.

“Sudah lupakah Guan Eng, DAP yang mula-mula mengisytiharkan putus dengan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Wang) pada tahun 2015 yang menyaksikan keretakan hubungan dalam PR.

“Bagaimana pula hari ini Pas diminta berpakat, sedangkan dahulunya PR berkubur kerana DAP tidak boleh menerima prinsip Pas?” soal beliau menjawab kenyataan Guan Eng kelmarin yang dilaporkan berkata, Pas masih mempunyai sokongan penyokong tegarnya, tetapi berdepan kekalahan di semua tempat pada PRU14 ini dan berisiko kehilangan Kelantan.

Ahmad Fadhli berkata, sedarkah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, DAP juga mempunyai risiko kehilangan kerusi apabila kalah di kerusi yang ditandingi jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

Beliau memberi contoh, apabila berlaku pertandingan tiga penjuru antara DAP, MCA atau Gerakan dan Pas, secara lazimnya pengundi Melayu Islam hampir pasti akan memilih Pas sebagai alternatif mereka.

“Dia (Guan Eng) hanya mendakwa Pas bakal kalah, tetapi tidak pula menyebut Pakatan Harapan (PH) bakal menang.

“Tentu dia sedar pihak yang untung nanti apabila berlaku pertembungan tiga penjuru di Kelantan ialah UMNO, sekali gus menunjukkan dengan jelas siapakah yang memberikan nyawa tambahan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kata Ahmad Fadhli, satu-satunya kekurangan di Kelantan ialah Menteri Besar dan Exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak seperti Pulau Pinang, Ketua Menteri dan salah seorang Exconya telah mempunyai pengalaman berharga ditahan dan didakwa oleh SPRM di mahkamah. Itulah satu-satunya kelebihan DAP berbanding Pas di Kelantan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.