Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menurukan tandatangan sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Datuk Mohd Sallehuddin (kanan) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (dua kiri) pada Majlis Perasmian Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Industri seni dan budaya dijangka mampu menyediakan peluang pekerjaan sekaligus dapat menangani isu kos sara hidup selepas tertubuhnya Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi CENDANA, bakat anak muda dapat diketengahkan dan dibangunkan sebelum ia dipasarkan untuk menjana pendapatan.

“Rakyat Malaysia mempunyai daya kreativiti tinggi di mana kita tidak ketandusan bakat, bahkan kita kaya dengan ramai anak muda yang sanggup ke depan dan bangunkan bakat mereka dalam seni dan budaya,” katanya berucap merasmikan CENDANA di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2017.

Hadir sama Penasihat Komunikasi Korporat Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Datuk Mohd Sallehuddin.

CENDANA ditubuhkan oleh kerajaan menerusi MyCreative Ventures, satu usaha yang diumumkan dalam Bajet 2017 Malaysia.

CENDANA akan menumpukan usaha menyokong pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif dan mempromosikannya kepada khalayak ramai.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia perlu penjenamaan semula dalam industri seni dan budaya agar ia mudah dikenali seperti mana yang dilakukan negara-negara luar.

“Ada sesetengah negara jenama mereka kuat, Korea ada budaya K-Pop, India dengan filem Bollywood, Bali dengan budaya tempatan tapi kita ada jenama sendiri, tapi kita perlu promosikannya, kita kena perkasakannya,

“Saya yakin kalau kita melakukan perkara ini, ia boleh jadi satu jenama yang kuat untuk Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri  juga mengumumkan seni dan budaya kini merupakan aset baharu kepada ekonomi Malaysia.

“Kalau kita belanja RM1, ada pelbagai kesan berganda kepada ekonomi negara.

“Kita melihat seni budaya sebagai satu bidang bukan saja kita mengeluarkan peruntukan atau perbelajaan saja, tapi ia mesti ada pulangan yang boleh kita buat penilaian dan ukurannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.