Petronas

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan seorang kakitangannya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki rasuah.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak itu berkata, penangkapan itu dibuat selepas siasatan dalaman terhadap kakitangan itu yang dijalankan oleh Petronas, yang kemudian melaporkan kes itu kepada SPRM.

“Petronas juga membantu SPRM menyiasat mengenai kes itu, sebelum penangkapan tersebut dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, Petronas tidak mendedahkan nama kakitangan itu.

Tegas syarikat itu, Petronas tidak membenar atau bertoleransi dengan sebarang bentuk salah laku dalam kalangan kakitangan dan kontraktornya.

Sebaliknya, Petronas akan meningkatkan kerjasama dengan SPRM untuk terus membantu siasatan , jika perlu.

Petronas telah bekerjasama dengan SPRM sejak tahun 2012 untuk mengekang dan mencegah rasuah dan salah laku, bukan hanya dalam kalangan pekerja dalam kumpulan syarikatnya, tetapi juga kontraktor dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

Semalam, seorang pegawai kanan Petronas Carigali antara tiga yang ditahan berhubung salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sejumlah RM23.7 juta.

Pegawai itu telah direman enam hari pagi tadi. – MalaysiaGazette