Home Dunia Pyongyang lebih rela makan rumput – Putin

Pyongyang lebih rela makan rumput – Putin

Vladimir Putin

MOSCOW – Meskipun mengutuk ujian peluru berpandu dan nuklear oleh Korea Utara, Presiden Rusia berkata, sekatan yang lebih ketat terhadap negara itu adalah usaha yang sia-sia.

Ini kerana, katanya, negara itu “lebih rela makan rumput daripada menggantung program nuklear”.

Malah, Vladimir Putin berkata, ancaman “histeria tentera” juga boleh membawa kepada bencana global.

“Mereka lebih suka makan rumput daripada meninggalkan program (senjata nuklear) kecuali mereka merasa aman dan apa yang boleh memastikan keselamatan? Pemulihan undang-undang antarabangsa. Kita harus mempromosikan dialog antara semua pihak yang berkepentingan.”

Memetik “aspek kemanusiaan”, Putin berkata, berjuta-juta orang akan menderita di bawah langkah-langkah yang lebih sukar, sambil menambah: “sekatan telah habis digunakan.”

Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan diplomasi merupakan satu-satunya usaha yang boleh dilakukan dalam menangani program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Katanya, China, yang merupakan sekutu Korea Utara perlu berunding semula.

Amerika Syarikat pada lalu telah membentangkan resolusi baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai sekatan yang lebih tegas berikutan ujian terbaru bom nuklear oleh Korea Utara pada pagi Ahad.

Sementara itu, Duta besar Korea Utara ke PBB di Geneva, Han Tae-song, berkata “langkah-langkah pertahanan diri” baru-baru ini adalah “pakej hadiah yang ditujukan kepada Amerika Syarikat”.

“Amerika Syarikat akan menerima lebih banyak pakej hadiah dari negara saya selagi ia bergantung kepada provokasi yang tidak baik dan usaha yang sia-sia untuk memberi tekanan kepada Korea Utara,” katanya. – MalaysiaGazette