PULAU PINANG – Malaysia tidak boleh bertindak bersendirian dalam mencari penyelesaian berhubung isu penindasan yang sedang dihadapi umat Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi etnik minoriti Islam Rakhine itu perlu segera dibawa ke pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari jalan penyelesaian.
Menurut beliau, seluruh dunia ketika ini bertanggungjawab mencari penyelesaian terhadap krisis itu dan memberi tekanan terhadap Kerajaan Myanmar supaya penindasan hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya tersebut dapat dihentikan.
“Dalam masa sama, pendirian kita juga sangat jelas iaitu menyokong saranan PBB supaya pihak berkuasa Myanmar mencari jalan penyelesaian yang holistik bagi menangani krisis di Rakhine,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang ke-43 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Reezal Merican turut melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Myanmar yang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu penindasan etnik Rohingya meskipun memberi jaminan akan mengambil langkah sewajarnya.
Malah, kata beliau, sikap berdiam diri itu terus diambil kerajaan Myanmar ketika negara-negara ASEAN lain berulang kali mendesak Kerajaan Myanmar menyelesaikan segera krisis berkenaan secara aman.
“Kita mahu isu penindasan yang mendapat liputan meluas masyarakat antarabangsa ini diselesaikan segera kerana bukan hanya sebagai pembelaan kepada etnik berkenaan, malah untuk kebaikan kerajaan Myanmar dan negara-negara berjiran,” katanya.
Tambah beliau, sikap Kerajaan Myanmar itu juga memaksa krisis berterusan yang berlaku di Rakhine tersebut wajar dibincangkan di peringkat lebih tinggi dan serius termasuk di PBB. – MalaysiaGazette