Dr. Ibrahim Ali bersama barisan kepimpinan tertinggi Perkasa di luar Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada Dr. Zakir Naik.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membidas parti politik Melayu dan yang menggunakan slogan memperjuangkan Islam tetapi tidak menunjukkan kesungguhan membela Dr. Zakir Naik.

Penceramah agama terkenal itu kini berdepan dengan pendakwaan saman oleh 19 individu bukan Islam.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Perkasa berseorangan mempertahankan penceramah kelahiran India itu daripada tuduhan terbabit yang cuba menghalang Zakir daripada mendapat perlindungan kerajaan Malaysia.

Menurutnya, beliau pada mulanya menjangkakan Pas dan UMNO akan membela pendakwah bebas itu tetapi kedua-dua parti berkenaan hanya ‘indah khabar dari rupa’.

“Ketika Dr. Zakir di era kemasyhuran, banyak parti politik di negara ini seperti Pas dan UMNO mengangkat dan menyanjungnya, tetapi apabila Dr. Zakir berdepan dengan saman oleh kumpulan bukan Islam dan didakwa di mahkamah, parti itu diam membisu.

“Saya jangkakan Pas yang akan ke hadapan dalam kes ini, tetapi bayang seorang pemimpinnya pun tak ada ketika Dr. Zakir berdepan dengan kes saman dan permohonan oleh kumpulan 19 individu untuk menghalang pendakwah itu masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar pekarangan Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini hari ini.

Pada Mac lalu, seramai 19 individu termasuk pengerusi kumpulan Hindraf, P. Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa melindungi Dr. Zakir.

Mereka mendakwa, Zakir adalah individu yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Mereka juga mendakwa kehadiran Zakir ke Malaysia akan membawa ancaman kepada keselamatan negara.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan kes itu hari ini apabila kerajaan semalam memfailkan perohonan untuk membatalkan saman mereka dan akan bersambung semula pada 21 September ini.

Menurut Ibrahim, beliau hadir ke mahkamah itu kerana Perkasa sebelum ini memohon untuk menjadi pencelah dalam perbicaraan saman berkenaan hendak melindungi Zakir yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan dakwaan menyokong keganasan di India. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast