SEPANYOL – Garbine Muguruza bakal menjadi pemain nombor satu dunia apabila senarai rangking baharu Persatuan Tenis Wanita (WTA) diumumkan pada Isnin depan.
WTA dijangka mengeluarkan senarai kedudukan semasa dunia pemain tenis wanita pada 11 September ini.
Muguruza berusia 23 tahun itu yang kini beraksi dalam minggu kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain yang menjadi pilihan bergelar juara terbuka AS itu tersungkur di tangan Petra Kvitova dalam pusingan keempat.
Pemain nombor 1 dunia dan Naib Juara Terbuka US tahun lalu, Karolina Pliskova tumbang kepada CoCo Vandeweghe dalam pusingan suku akhir selepas gagal mengutip mata terakhir.
Muguruza merupakan pemain kedua mewakili Sepanyol yang akan mencapai kedudukan bersejarah dalam rangking Tenis dunia sejak sistem penilaian berkomputer itu diperkenalkan pada tahun 1975.
Muguruza mengikuti jejak langkah rakan seperjuangannya Arantxa Sanchez-Vicario yang telah menduduki rangking nombor 1 selama 12 minggu pada tahun 1995.
Lahir di Venezuela, Muguruza berpindah ke Sepanyol pada tahun 1999 pada usia enam tahun.
Kebangkitan dalam dunia tenis bermula selepas Gelaran Grand Slam keduanya yang dimenangi di Wimbledon pada Julai selepas menewaskan Venus Williams pada pusingan akhir.
Muguruza juga pernah menjuarai Terbuka Roland Garros pada tahun 2016 sekaligus muncul sebagai pemain kelima mengalahkan Serena Williams dalam aksi final utama.
Kemajuan Muguruza sebagai ratu tenis nombor satu dunia WTA telah menamatkan penyandangnya Czech Pliskova yang memegang gelaran itu selama lapan minggu.- MalaysiaGazette