Presiden Generasi Bersatu Selangor (GBS), Datuk Mohd. Fadzil Yusof

KUALA LUMPUR  – Generasi Bersatu Selangor (GBS) telah membuat satu laporan polis mengenai sebuah syarikat yang menyalahgunakan lesen caller ID yang telah dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM).

Caller ID adalah Network Service Provider (NSP)/NFP (Network Facilities Provider) / CLID.

Presiden GBS, Datuk Mohd. Fadzil Yusof berkata, laporan itu dibuat kerana pihaknya terpanggil untuk memikul tanggungjawab bagi melindungi keselamatan rakyat Malaysia.

“Penyalahan itu mampu menggugat keamanan negara kerana perkhidmatan nombor talian telefon yang dibekalkan oleh syarikat yang berkenaan secara pukal kepada syarikat lain, dibekalkan pula kepada pengguna di luar negara yang menggunakan nombor berdaftar di Malaysia.

“Apabila panggilan dibuat oleh individu dengan niat untuk mencetuskan huru hara, nombor ID yang tertera pada skrin telefon ialah +603 iaitu yang berdaftar di negara kita walaupun lokasi sebenar panggilan itu dibuat bukan dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Fadzil menambah, dalam laporan polis itu, pihaknya turut mendedahkan syarikat pembekal nombor talian telefon itu adalah sebuah syarikat multinasional dan merupakan syarikat disenarai awam.

Jelasnya, syarikat itu menjual secara pukal nombor talian telefon kepada sebuah syarikat yang lain.

“Jadi apabila syarikat yang memberi nombor talian telefon ini menjual kepada individu, di sinilah terbongkarnya salah guna lesen NSP/NFP/caller ID.

“Contoh satu panggilan dibuat di Indonesia yang nombor ID sepatutnya tertera +62 tetapi yang tertera ialah nombor +603 iaitu nombor Malaysia.

“Jadi, apabila perkara ini dimaklumkan kepada syarikat multinasional yang berkenaan, mereka bertindak membubarkan penjualan nombor talian telefon secara pukal.

“Apa yang membimbangkan ialah sekiranya ada pihak yang menggunakan nombor talian telefon ini untuk tujuan jenayah seperti ancaman keselamatan maka negara luar seperti negara-negara kuasa besar bukan sahaja dapat mengesan dari negara manakah panggilan itu dibuat tetapi juga akan beranggapan Malaysia adalah hab pengganas,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata,  negara akan terdedah kepada tindak balas oleh orang luar disebabkan oleh nombor talian telefon yang tertera itu ialah dari Malaysia.

Ujarnya, ia akan menimbulkan ancaman keselamatan negara dan kesan kepada kedaulatan Malaysia disebabkan orang luar akan mudah melabelkan Malaysia sebagai pencetus kepada pelbagai kegiatan keganasan.

“Ini yang perlu kita bendung. Dan perkara salah guna lesen NSP/NFP/caller ID telah pun dimaklumkan kepada agensi SKMM.

“Dengan laporan polis ini, kita menggesa supaya agensi yang berkenaan bertindak pantas ke atas syarikat multinasional tersebut bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia tidak terancam dan keselamatan negara kita tidak dipertaruhkan disebabkan oleh nombor talian telefon,” katanya lagi dalam kenyataan itu.