Kanak-kanak berusia 12 tahun yang melecur di badannya akibat disambar api semasa membersihkan kedai milik keluarganya di Jalan Tebrau.

JOHOR BAHRU – Badan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun melecur kira-kira 20 peratus selepas disambar api ketika membersihkan tumpahan petrol di kedai motosikal milik keluarganya di Jalan Tebrau di sini malam tadi.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada 7.53 malam itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit berusia 40 tahun, kakak (15 tahun) dan abangnya (14 tahun) turut tercedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Ismail.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Saiful Bahri Safar berkata, semasa kejadian empat sekeluarga itu sedang mengemas kedai motosikal yang dijalankan keluarga mereka selepas premis ditutup pada 7 malam.

Menurutnya, semasa sedang sibuk mengemas untuk menutup kedai tempat simpanan petrol tertumpah dan ketika salah seorang daripada mereka membersihkan tumpahan itu dipercayai secara tidak sengaja menyebabkan ia terbakar.

“Kejadian teresebut menyebabkan kanak-kanak itu melecur pada kedua belah kaki hingga ke paras peha,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, ayah kanak-kanak itu dimasukkan ke wad kecemasan kerana sesak nafas manakala abang dan kakaknya yang cedera di kaki turut mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.

Beliau berkata, operasi dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota itu ditamatkan pada 8.15 malam dan kebakaran itu juga tidak merebak ke premis lain. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast