KUALA LUMPUR – Selepas memasang angan-angan mengambil alih Pulau Pinang dari DAP, kali ini Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) bercita-cita untuk merampas Kedah dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
Hal ini diakui Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berdasarkan pengalaman parti itu pernah memerintah Kedah pada PRU-12.
“Kami yakin Kedah akan dapat kembali diperintah sebagaimana Pas pernah mendapatnya pada PRU-12 dahulu.
“Pas di Kedah telah bertapak kukuh dengan pengalamannya serta teruji dengan sejarah perjuangan yang menyemarakkan kebangkitan.
“Peristiwa Memali, Lubuk Merbau dan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum serta tokoh-tokoh pernah dilahirkannya, mengenalkan semangat dan roh yang membara di negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.
Beliau berkata, sahabat Pemuda Pas Kedah sudah bersedia menempuh PRU14 di semua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 Parlimen seluruh negeri itu dalam keadaan jentera yang cukup baik.
Malah, kata Muhammad Khalil, Dewan Pemuda Pas Kedah (DPPK) bersedia untuk menurunkan BN yang sarat dengan bebanan dan masalah untuk tidak terus diteraju kuasa.
“Bahkan, kemampuan Pemuda Pas Kedah tentunya mengatasi Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak sepakat dan celaru serta rela ditentu nasib oleh DAP,” katanya. – MalaysiaGazette