KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan jangan salah faham dengan teguran pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berhubung kelemahan pentadbiran kerajaan negeri itu.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, teguran itu bukan bermakna Perkasa benci atau mengutuk cara pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya mahu ia diambil pengajaran dan mencari segala kelemahan untuk diperbaiki.
Kata beliau, selama 27 tahun Pas memerintah Kelantan tetapi masih gagal untuk memaju dan membangunkan negeri serta rakyatnya seperti negeri lain.
“Tempoh 27 tahun adalah suatu jangkamasa yang lama dan panjang. Sepatutnya dalam tempoh kepimpinan ittu, Kelantan sudah berubah dan jauh lebih maju dari negeri lain.
“Malangnya, Kelantan masih sama seperti sebelum ini, pembangunan hanya tertumpu pada satu tempat, bukan menyeluruh. Manakala anak-anak muda pula habis peperiksaan terus merantau ke ibu kota mencari pekerjaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen PasirMas menjelaskan, beliau selalu ditanya oleh perantau dari Kelantan mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, daripada rungutan itu beliau menegur kerajaan Pas Kelantan supaya lebih proaktif dan produktif dalam memimpin serta mentadbir kerajaan negeri.
“Tetapi, teguran itu telah disalahertikan oleh pihak tertentu dalam Pas. Mereka mendakwa saya dan Perkasa benci mereka.
“Perkasa atau saya secara peribadi tidak pernah membenci Pas. Tetapi salahkah kalau kita membuat teguran? Dengan harapan teguran itu didengari dan digunakan mereka untuk menambahbaik pentadbiran,” ujarnya.
Sementara itu, Ibrahim yang mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 di kerusi Parlimen Pasir Mas berpuas hati dengan program ramah mesra bersama rakyat di kawasan itu.
Katanya, beliau secara tradisi berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas bertemu dan bertanya khabar rakyat walaupun tidak lagi sebagai pemimpin parti.
“Dahulu saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, saya dipecat dan tidak ada apa-apa ikatan politik lagi dengan rakyat kawasan ini tetapi saya tetap kenang jasa mereka dan sentiasa balik ke kawasan bertemu mata,” katanya yang menghabiskan masa satu hari bersama penduduk di tiga tempat di daerah itu.
Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan beras, selain mengeratkan silaturahim dengan rakyat yang pernah mengundinya pada pilihan raya sebelum ini. – MalaysiaGazette