KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid atas pelantikan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) yang baharu.
Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, pengalaman Azhar dalam bidang perniagaan dan industri perladangan termasuk ketika di Sime Darby dan Petronas sebelum ini, diyakini segala kepincangan dalam FGV akan dapat diatasinya segera.
Katanya, misi utama pengerusi baharu sekarang ialah memulihkan semula FGV yang telah disenaraikan dalam pasaran awam sejak lima tahun lalu.
“FGV disenaraikan dalam pasaran awam setelah anak syarikat Felda ini disatukan sebagai sebuah konglomerat yang memiliki ladang amat luas dan aset berbillion ringgit termasuk dana dari tawaran awam permulaan (IPO) telah diperolehi, yang dilihat sebagai detik kegemilangan FGV.
“Malangnya, di sebalik penambahan dana yang mendadak ini, prestasi FGV terus menerus merosot awal tahun berikutnya.
“Keuntungan selepas cukai menurun berterusan pada tahun 2016. Kemerosotan ini amat ketara sekali kerana sebelum FGV ditubuhkan, Felda Holding sahaja telah mencatatkan kentungan yang banyak. Dividennya mula merosot tahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Azhar sebagai Pengerusi FGV yang baharu berkuat kuasa serta merta.
Beliau yakin dengan pengalaman luas dimiliki Azhar dapat menerajui FGV dengan cemerlang, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya dapat diterjemahkan dengan harga saham FGV yang lebih kukuh.
Menurut Sirajuddin, Perkasa sebelum ini melahirkan rasa kesal dengan kemerosotan saham FGV kerana yang menerima padahnya ialah pemegang saham utama iaitu peneroka, Felda dan Koperasi Permodalan Felda.
“Harapan mereka terutama peneroka yang berasal dari kampung dan luar bandar kepada FGV jatuh berkecai.
“FGV seharusnya memberi fokus kepada perniagaan teras iaitu perladangan dan aktiviti perhiliran seperti perkilangan, pemerosesan dan pemasaran yang diuruskan secara kos efektif,” katanya.
Kata beliau, kos pengeluaran seton minyak sawit dalam perladangan FGV juga agak tinggi dibandingkan dengan ladang Sime Darby dan ladang IOI.
“Harapan Perkasa dan para pemegang saham amnya ialah supaya pengurusan baru yang diterajui Azhar yang berintegriti dapat meletakkan semula FGV dilandasan yang betul.
“Kembalikan semula nilai-nilai koporat yang positif, melaburlah secara berhemah, bukan bertujuan untuk menaikkan nama semata-mata,” katanya.
Beliau berharap kesilapan lalu dapat dibaik pulih semula dan membawa pulangan yang maksima dan manfaat berterusan kepada pemegang saham dengan kemajuan FGV di masa hadapan. – MalaysiaGazette