Ratu Tenis wanita Jepun, Kimiko Date membuat keputusan bersara dari dunia tenis kerana faktor usia dan fizikal yang tidak mengizinkannya. - SkySports

TOKYO – Kimiko Date sudah bersedia untuk bersara daripada karier tenis pada usia 46 tahun pada Isnin ini.

Ratu tenis dari Jepun itu tidak lagi berupaya untuk beraksi pada tahap terbaik dalam sukan tenis berikutan isu kecergasan fizikal yang tidak lagi mengizinkannya meneruskan kariernya.

“Saya sudah membuat keputusan untuk bersara daripada tenis selepas suara hati memberitahu bahawa sudah tiba masanya menggantung raket,” katanya hari ini.

Bekas pemain nombor empat dunia itu dijemput beraksi dalam kejohanan Tenis Terbuka Wanita Jepun pada Oktober ini dua minggu sebelum menjangkau usia 47 tahun.

Kimiko menulis dalam blog peribadinya berkata, ia akan menjadi penampilan terakhir dalam dunia tenis.

Sebelum ini, pada Mei lalu, Kimiko kembali ke gelanggang selepas menjalani beberapa proses pembedahan termasuk transplan pada kaki awal tahun ini.

“Saya terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan sehingga suatu hari tidka boleh lagi menolak suara hati saya.

“Kecederaan lama pada bahu sebelum ini mula memberi kesan sekarang yang tidak lagi mengizinkan saya berada pada prestasi sebenar dalam tenis.

“Saya pulih dari pembedahan kaki dan proses rehabilitasi dan latihan keras untuk kembali pada kecergasan sebenar dan bertanding dalam perlawanan.

“Namun saya dapat merasakan perbezaan dalam kecergasan saya sebelum kecederaan,” ujarnya.

Kimiko bersara pada 1996 tetapi kembali semula 12 tahun kemudian pada tahun 2008.

Dia menghabiskan 16 bulan menjalani rawatan sebelum kembali pada Mei lalu.

Kimiko merangkul kejuaraan Tenis Wanita Terbuka Jepun pada tahun 1992 iaitu tahun yang sama juara bertahan Christina McHale dari Amerika Syarikat dilahirkan.

Kimiko menyerah kalah kali ini bahawa dia tidak lagi mempunyai daya untuk bersaing dengan pemain sekitar 20-an.

Kimiko dalam kariernya telah menjuarai lapan gelaran WTA dan yang terakhir pada tahun 2009 sebelum layak ke tiga separuh akhir grand slam.- MalaysiaGazette