Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (lima kanan) selaku Penaung Diraja Lembaga Pengarah Amanah Anugerah Merdeka berkenan untuk bergambar kenangan bersama penerima-penerima Anugerah Merdeka 2017 diiringi Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan (enam kiri) di Dewan Filharmonik, KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyampaikan Anugerah Merdeka 2017 kepada enam individu sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Keenam-enam penerima anugerah itu ialah Datuk Dr. Abdul Halim Ismail (kategori pendidikan dan komuniti); Datuk Seri Tengku Dr. Zainal Adoin Tengku Mahamood (kategori alam sekitar) dan dua tokoh bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi iaitu Prof. Dr. Balbir Singh Mohan Singh dan Dr. Timothy William.

Prof. Ir Dr. Masjuki Hassan pula dianugerahkan bagi kategori pencapaian manakala bagi kategori kecemerlangan dalam berbakti kepada komuniti pula diterima oleh Prof. Dr. Anthony Crothers Milner.

Anugerah Merdeka merupakan anjuran Petronas, Shell Malaysia dan ExxonMobil Malaysia.

Majlis penuh berprestij itu menyaksikan jumlah keseluruhan 44 individu dan dua organisasi yang menerima penghargaan tersebut sejak 10 tahun penubuhannya.

“Setiap tahun, proses pencalonan dan pemilihan untuk Anugerah Merdeka dikendalikan oleh Lembaga Pemegang Amanah dan 22 ahli daripada enam jawatankuasa, iaitu bagi setiap kategori,” kata pengasas bersama Anugerah Merdeka, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dalam ucapannya.

 

Majlis Pengumuman dan Penyampaian Anugerah Merdeka kali ini diadakan di Dewan Filharmonik Petronas dengan diiringi rantaian persembahan daripada kumpulan orkestra.

Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah juga turut menghiburkan dengan lagu Lelaki Teragung pada majlis yang sama. – MalaysiaGazette