KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Majlis Halal Malaysia (MHM) sedang mengendalikan rangka kerja yang akan memacu negara ini melangkaui status sebagai Peneraju Halal Global pada tahun 2020.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan memerlukan pelan baharu itu berikutan Pelan Induk Industri Halal yang digunakan sebelum ini telah digunapakai dari tahun 2008 hingga 2020.
“Kita dapati industri halal ini semakin berkembang dan kerajaan telah mencapai sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai Peneraju Halal Global. Kita hanya perlu mengekalkan pengiktirafan ini dan memperkenalkan perancangan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Perdana Industri Halal 2017 bersempena pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 di Dewan Dr. Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, agenda halal adalah keutamaan di peringkat negara dan melalui MHM, rangka kerja institusi di peringkat persekutuan dan negeri akan diselaraskan.
Di samping itu, kata beliau, dasar sedia ada juga akan ditambah baik untuk menjadi lebih mesra industri.
“Untuk membentuk ekosistem Halal Malaysia yang lebih mampan dan bagi mencapai matlamat ini, agenda pembangunan perindustrian dan penambahbaikan integriti halal akan digerakkan sejajar dengannya.
“Oleh itu, pembangunan kapasiti peserta industri dan perkhidmatan sokongan sepanjang rantaian nilai akan menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, peranan Malaysia di peringkat global dipertingkatkan melalui agenda pengantarabangsaan, manakala perkongsian strategik bersama pihak berkepentingan global akan dipergiatkan supaya lebih banyak pasaran baharu diwujudkan.
Sehubungan itu, kata Ahmad Zahid, peserta industri digesa supaya menerokai pasaran baharu dan mencari rakan strategik yang berpotensi tinggi.
Sementara itu, pasa sidang medianya, beliau menyatakan, pengisian dan maklum balas dari sesi dialog itu akan dibentangkan pada sesi Makmal Pembentukan Pelan Induk Industri Halal 2.0 pada 14 hingga 19 september ini. – MalaysiaGazette