KUALA LUMPUR – Isu pemilikan rumah untuk belia di Perak tidak akan berkesudahan jika tiada usaha dilakukan kerajaan negeri itu bagi memastikan golongan berkenaan memiliki kediaman dengan kemampuan masing-masing.
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak, Nor Afzainizam Salleh berkata, apa yang berlaku hari ini walaupun kerajaan negeri mendabik dada mendakwa menyediakan kediaman kepada golongan itu melalui Skim Perumahan Rakyat Satu Malaysia (PR1MA), tetapi harganya hanya mampu tengok, bukan mampu milik.
“Sudah banyak kali isu ini diperkatakan dan dibincangkan dalam pelbagai platform, tapi tidak ada kesudahannya.
“Timbul sekejap tenggelam lama. Tiada sebarang inisiatif atau tindakan susulan oleh kerajaan negeri bagi menjuarai isu ini.
“Semakin hari harga bagi sebuah rumah kian melonjak. Kos sara hidup pula semakin hari semakin meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Nor Afzainizam berkata, Perak mempunyai populasi lebih dua juta penduduk dari 13 daerah dengan Kinta paling ramai rakyatnya.
Katanya, daerah itu juga menjadi tumpuan masyarakat pelbagai peringkat umur untuk mencari rezeki kerana peluangnya lebih besar atas beberapa kelebihan dari segi ekonomi dan kemudahan lain yang tersedia.
“Apa yang menyedihkan rata-rata golongan belia lingkungan 20 hingga 40 tahun masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri atas pelbagai sebab.
“Sebab paling popular ialah gaji yang tidak mencapai kriteria ditetapkan oleh institusi kewangan.
“Secara logik akal purata pendapatan golongan ini sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, kalau suami isteri bekerja dapatlah RM2,000 hingga RM2,500 sebulan setelah ditolak segala kos bulanan yang terpaksa ditanggung,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula PR1MA kerana ia sekadar skim sahaja, sedangkan harga rumahnya hanya mampu lihat, bukan mampu dimiliki.
“Bayangkan sebuah unit apartment untuk skim PR1MA bernilai RM200,000 ke atas. Ianya langsung tidak membantu, apatah lagi menyelesaikan isu pemilikan rumah bagi golongan belia di masa sekarang.
“Saya minta kerajaan Perak mencari inisatif dalam isu pemilikan rumah bagi belia bukan setakat di sekitar Lembah Kinta, tetapi di seluruh negeri dengan apa jua jalan sekalipun.
“Kita semua maklum pendapatan tahunan bagi Perak antara yang tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia,” ujar beliau.
Katanya, tidak salah sekiranya kerajaan negeri belanjakan wang yang ada kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan belia dan sekali gus dapat memiliki rumah kediaman.
Ujar Nor Afzainizam, tanah milik kerajaan negeri masih luas, bina kediaman mampu dimiliki oleh belia dengan harga paling minimum beserta dengan syarat mudah.
“Tidak perlu membazir duit kerajaan negeri dengan program yang tidak memberi manfaat untuk semua golongan rakyat yang ada.
“Salurkan kepada mereka yang memerlukan dengan cara lebih bermanfaat. Yang mampu memiliki kita lupakan, fokus kepada mereka yang memerlukan, yang tidak mampu memiliki,” katanya. – MalaysiaGazette
















