KUALA LUMPUR – Barisan artis popular bakal memeriahkan Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang akan berlangsung pada 23 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Malam anugerah berprestij itu akan menyaksikan Zizan Razak sebagai hos utama berganding dengan Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Tanuja menerusi beberapa segmen.
Antara artis dan karyawan seni yang akan menyampaikan anugerah pada malam kemuncak ialah Osman Ali, Vanidah Imran, Datuk Norman Halim, Pekin Ibrahim, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Datuk Eizlan Yusof, Puan Seri Tiara Jacquelina dan Fattah Amin.
Turut terlibat, Kavita Kaur, Fasha Sandha, Remy Ishak, Ayda Jebat, Nora Danish, Mya Sara, Raykal, Zul Ariffin, Raja Ilya, Sanjey Kumar Perumal, Sharon Paul, Nasha Aziz, Faizal Hussein dan Syamsul Yusof.
Malam anugerah juga akan dihiasi dengan persembahan artis popular antaranya KRU, Aisyah Aziz, Mirwana, UNIC, Salamiah Hassan, Atilia, Shiha Zikir dan Akim & The Majistret.
FFM29 yang bertemakan Transformasi Citra Karya kali ini menampilkan perbezaan daripada tahun-tahun sebelumnya apabila hanya akan mengumumkan lima finalis bagi setiap kategori pada malam anugerah.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerima 53 buah filem untuk dipertandingkan pada tahun ini dengan 41 buah filem berbahasa Melayu, enam (Mandarin), lima (Tamil) dan satu (Inggeris).
Penjurian pula menjalani dua peringkat iaitu pada peringkat awal bermula dari 4 hingga 11 September lalu dan peringkat kedua pula pada 12 hingga 19 September ini.
Ketua Pengarah Finas yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Datuk Fauzi Ayob berkata, Finas akan membawa kelainan dengan memberi fokus kepada program pembangunan untuk modal insan berkaitan industri filem.
“FFM29 bukan hanya untuk berseronok tetapi perlu juga diserapkan keilmuan yang boleh ditingkatkan seperti kreativiti dan idea,” tambahnya.
Justeru, Finas akan membawakan pakar-pakar filem dari India dan Amerika Syarikat menerusi kelas istimewa sinematografi pada 18 hingga 22 September di Studio Sound Stage di Finas.
Selain itu, Finas juga akan mengadakan apresiasi karyawan muda ke atas dua filem yang juga laris di pawagam dan menembusi festival filem antarabangsa iaitu Munafik dan Polis Evo.
Tokoh filem tempatan, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin juga akan menjadi sebahagian daripada program imbas kembali dalam Layar Bintang bagi mengupas falsafah dan pemikirannya dalam pembikinan filem.
FFM29 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada pukul 9 malam.
FFM29 dianjurkan Finas dengan kerjasama persatuan-persatuan perfileman Malaysia dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Antara persatuan terlibat ialah Persatuan Penerbit Filem (PFM), Seniman, Karyawan, Profima dan Gafim.
Sementara itu Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut bekerjasama sebagai rakan promosi untuk memeriahkan promosi berkaitan FFM29. – MalaysiaGazette