Orang ramai mula berkumpul di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berikutan kejadian kebakaran yang meragut lebih 20 nyawa di Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang ustaz Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, yang meninggal dunia awal pagi tadi baru mendirikan rumah tangga Mei lalu.

Menurut ibu saudaranya, Asmah Yaakob, 50, Noor Fatihah iaitu isteri mangsa dan ustaz berkenaan baru selesai melangsungkan perkahwinan mereka minggu lalu di Kelantan.

“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah. Pemergiannya amat kami rasai.

“Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwinannya di Kelantan minggu lepas,” katanya kepada media di Surau Al-Madrasatul Iftifaqiyah, Jalan Keramat Ujung hari ini.

Mohd Amirul merupakan warden di pusat tahfiz berkenaan meninggal dunia bersama seorang lagi ustaz dan 21 pelajar tahfiz berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Menurut Asmah, arwah memulakan tugas selaku ustaz dan warden awal tahun lalu.

Jenazah Mohd Amirul akan dibawa pulang ke Kelantan untuk proses pengkebumian. -MalaysiaGazette