Datuk Fauzi Ayob

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kembali kepada Filem Terbaik sebagai kategori utama  pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) kali ini.

Ini bermakna tiada lagi Filem Terbaik Kebangsaan dan Filem Terbaik Malaysia yang diwujudkan tahun lalu telah dimansuhkan.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob berkata, pihaknya mahu mengangkat dalam nashkah terbaik menerusi satu kategori sahaja.

“Finas akan kembali kepada kategari Filem Terbaik bagi mengelakkan kontroversi dan semua bertanding diadili menerusi satu kategori sahaja,” katanya.

Fauzi ditemui pada sidang media kedua FFM29 yang diadakan di Hotel Park Royal di sini semaam

Turut sama Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.
Ketua Pengarah FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM ke 29, Datuk Fauzi Ayob (tengah) memegang trofi FFM dan bergambar kenangan bersama barisan pengarah dan artis-artis yang hadir pada Majlis Sidang Media Festival Filem Malaysia 29 di Hotel Park Royale, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 SEPTEMBER 2017

Sebanyak 53 filem dipertandingkan pada acara yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 September ini.

Tahun lalu, Finas menjadi perhatian apabila  mewujudkan kategori filem dalam Bahasa Malaysia dan bukan dalam Bahasa Malaysia untuk dipertandingkan.

Filem Ola Bola’ dan Jagat yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik bukan dalam bahasa Malaysia telah menimbulkan bantahan sebilangan penggiat filem tempatan.

Dalam pada itu, Fauzi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29 berkata,  calon lima terbaik hanya akan diumumkan pada malam kemuncak FFM29 nanti.

Mengikut tradisi, calon lima terbaik diumumkan lebih awal namun ia diubah pada tahun ini.

Sementara itu, Zizan Razak bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos utama FFM29 bersama tiga pelakon jelita iaitu Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Thanuja menerusi beberapa segmen.

FFM29 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia bertindak sebagai rakan promosi bagi acara itu. – MalaysiaGazette