Anggota Bomba dan Penyelamat membawa keluar jenazah yang terkorban dalam kes kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala urusan pengkebumian jenazah pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban awal pagi ini akan diuruskan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).

Menurutnya, JAWI dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan itu dan apa-apa sahaja urusan berkaitan pengkebumian semua jenazah.

“MAWIP dan JAWI akan mengambil tanggungjawab ini kerana berada dalam lingkungan wilayah persekutuan,” katanya kepada media di Surau Al-Madrasatul Iftifaqiyah, Jalan Keramat Ujung hari ini.

Asyraf berkata demikian selepas hadir dalam sesi taklimat kepada ibu bapa mangsa.

Ketika ini semua waris mangsa yang terkorban dalam perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) sehingga sesi pengecaman jenazah.

Malah proses mandi dan kafan akan turut dilakukan di sana.

Sebilangan jenazah akan dikebumikan di Tanah perkuburan Raudatul  Sakinah, Karak dan sebilangan lagi akan dikebumikan mengikut kehendak waris.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan akan turun ke tempat kejadian jam 3 petang nanti.

Beliau juga difahamkan akan bertemu dengan waris dan juga ahli keluarga mangsa. -MalaysiaGazette.