Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu antara 4 pelajar tahfiz yang terselamat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dan mengorbankan 23 pelajar di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Bangunan tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak menepati ciri-ciri keselamatan mengakibatkan berlakunya kematian awal hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, aspek keselamatan yang diabaikan oleh pihak pengurusan tahfiz semasa membuat renovasi di premis terbabit menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri masing-masing ketika kejadian.

“Kerajaan  akan terus lakukan siasatan melalui PDRM, Jabatan Bomba dan juga forensik kerana dapati bahawa tidak terdapat ciri keselamatan yang patutnya dipatuhi.

“Kami faham bahawa tempat ini sementara sahaja kerana mereka sedang melakukan (membina) maahad tahfiz yang kekal,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan melawat pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid melawat pukul 3.30 dan sebelum itu berada di Sarawak pagi tadi dan diberikan taklimat daripada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim.

Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, kerajaan tidak berhajat untuk campur tangan dalam pendidikan agama dibawah kerajaan negeri atau mana-mana pihak berkuasa di peringkat negeri.

Malah katanya,  ia hanyalah demi untuk menjaga keselamatan anak-anak yang mengikuti aliran tahfiz.

“Saya ingin mengulangi bahawa kita ada dasar pendidikan maahaz tahfiz dan ini harus diikuti walaupun berbentuk sementara atau kekal.

“Ciri-ciri keselamatan sebagaimana yang ditentukan oleh PBT dan bomba mesti dan wajib diikuti,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Seramai 25 mangsa termasuk dua guru meninggal dunia dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan kira-kira pukul 5.30 pagi tadi dan seorang lagi meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua mangsa ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami oleh 36 penuntut dan enam orang guru.

Selain itu, 14 pelajar yang terselamat kini berada di HKL dimana dua daripadanya berada di zon merah dan tiga di zon kuning.

Sejak tahun 2011, sebanyak 31 kes kebakaran terjadi di sekolah tahfiz berlaku dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.4 juta. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast