Gambar arkib

Kuala Lumpur – Berikutan struktur baharu pegangan saham dan pengurusan Kumpulan Proton selepas episod pencarian rakan kongsi asing strategiknya tamat, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Datuk Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatannya berkuatkuasa 30 September ini.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, Fuaad telah memainkan peranan besar dalam menerajui Proton sejak dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April tahun lepas termasuklah menjadi individu penting di dalam mendapatkan Zhejiang Geely Holding sebagai rakan kongsi asing strategik pengeluar kereta nasional tersebut.

Bagaimanapun teka-teki mengenai pengganti Fuaad masih belum terjawab kerana kenyataan tiga muka surat oleh DRB-Hicom yang juga pemegang 50.1 peratus kepentingan dalam Proton hanya menyatakan kedudukan beberapa jawatan penting yang lain sahaja.

Antaranya, kedudukan Syed Faisal sendiri sebagai Pengerusi Proton dikekalkan bagi memastikan kerjasama di antara syarikat kereta nasional itu dengan syarikat dari China itu mencapai matlamat dan seterusnya memberikan pulangan pelaburan kepada kedua-dua pihak.

Dalam kenyataan yang sama, DRB-Hicom berkata, Geely Holdings akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) manakala Datuk Mohd. Radzaif Mohamaed dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PONSB.

PONSB adalah anak syarikat yang bertanggung jawab ke atas pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran utama sekali gus merupakan komponen terbesar dalam operasi Kumpulan Proton.

Menurut kenyataan tersebut, di bawah Kumpulan Proton terdapat tiga entiti utama iaitu Proton Holdings Bhd. (PHB) yang akan bertindak sebagai sebuah syarikat induk yang akan memayungi dua anak syarikat milik penuhnya iaitu PONSB dan Proton Edar Sdn. Bhd.

Proton Edar akan kekal dengan “boss” sedia adanya, Abdul Rashid Musa yang dilantik sejak Februari lalu.

“DRB-Hicom dan Geely Holdings sedang meningkatkan usaha memperincikan pelan perniagaan baharu bagi Kumpulan Proton.

“Pelan perniagaan ini penting bagi menghasilkan peta hala tuju yang kukuh kepada Kumpulan Proton untuk tahun akan datang.

“Pelan perniagaan ini akan juga meliputi strategi bagi kedua-dua syarikat bekerjasama bagi membangunkan kenderaan baharu untuk pasaran global,” katanya di sini hari ini.- MalaysiaGazette