PULAU PINANG – Banjir kilat sekali lagi melumpuhkan hampir kebanyakan kawasan di negeri ini awal pagi ini dengan kawasan sekitar Georgetown dilaporkan paling teruk terjejas.

Sejak awal pagi ini, lebih 30 kawasan di negeri ini termasuk di Seberang Perai dilaporkan ditenggelami banjir kilat ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi.


Kawasan paling teruk terjejas termasuk di sekitar Bayan Baru; Sungai Pinang; Jalan Masjid Negeri; Tanjung Tokong; Air Itam dan Farlim.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, lebih 10 penduduk juga terpaksa diselamatkan di beberapa lokasi ekoran teperangkap dalam banjir kilat yang berlaku secara mendadak.

Selain itu, katanya, pasukan penyelamat turut menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di Medan Fettes, Tanjung Tokong yang menyebabkan beberapa buah kereta dihempap pokok tumbang.

Bagaimanapun, ujarnya, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku setakat ini.

Sementara itu, ribuan pengguna jalan raya pula terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas sejak awal pagi ini ekoran beberapa jalan utama tidak boleh dilalui selepas ditenggelami banjir.

Antaranya kawasan yang tidak boleh dilalui dan terputus hubungan adalah di sekitar Jalan Masjid Negeri dan Air Itam yang turut menyaksikan beberapa buah kenderaan terperangkap.

Setakat pukul 10 pagi ini, hujan lebat masih berterusan di negeri ini dan dilaporkan lebih banyak kawasan sedang dinaiki air namun belum ada pusat pemindahan banjir dibuka pasukan penyelamat.- MalaysiaGazette