Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (tengah) menunjukkan antara barang kes yang dirampas daripada tujuh suspek pada sidang media berhubung perkembangan terbaru siasatan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh hari ini mengesahkan siasatan terhadap kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, awal pagi Khamis lalu selesai.

Ia berikutan tangkapan ketujuh-tujuh suspek yang dikaitkan dengan kejadian meragut 23 nyawa itu.

“Ketujuh-tujuh yang ditangkap telah dibawa ke mahkamah dan direman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 September,” katanya dalam sidang media khas berhubung kes itu sebentar tadi.

Amar juga berkata, hasil ujian air kencing menunjukkan enam daripada suspek positif ganja dan dipercayai khayal semasa melakukan perbuatan tersebut.

“Motif mereka adalah untuk membakar, sebab usia mereka dan kematangan mereka tidak tahu daripada perbuatan mereka akan berlakunya kematian.

“Kita telah siap siasatan dan berjalan normal,” katanya lagi.

Hasil siasatan, ketujuh-tujuh suspek ditahan jam 6 petang sehingga jam 2.30 pagi tadi.

Kesemua mereka akan didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat dengan api).

Kesemua mereka berusia di antara 12 dan 18 tahun.

Penahanan itu dilakukan hasil pengecaman wajah seorang remaja melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pusat tahfiz berkenaan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast