NAJIB Tun Razak di sambut oleh Donald Trump sebaik sahaja tiba di White House.

KOMENTAR oleh Wong Sai Wan, Ketua Pengarang Malay Mail

KUALA LUMPUR – Saya tidak berniat untuk menulis tetapi pelbagai berita karut yang saya baca di media sosial dalam tiga hari yang lalu telah memaksa saya untuk menulis sesuatu yang fakta bukannya fiksyen.

Saya adalah sebahagian daripada media Malaysia yang membuat liputan perjalanan dan sebelum sesiapa membuat membuat kenyataan, saya mahu memberitahu anda bahawa setiap akhbar dan stesen televisyen perlu membayar sendiri perjalanan mereka dan bukannya dibayar oleh kerajaan.

Lantaran itu, jangan menuduh saya menerima rasuah.

Berapa lama mereka bertemu?

Datuk Seri Najib Razak dan pasukannya bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta anggota kabinet kanan Washington selama lebih 50 minit, yang mana pertemuan empat mata Perdana Menteri dan Trump berlangsung selama 20 minit.

Banyak pengkritik telah menunjukkan video dan transkrip selama lima minit yang dikeluarkan oleh White House dan mengandaikan itu sahaja masa yang diperoleh Najib dan pasukannya daripada tuan rumah.

Ini tidak masuk akal.

Apa yang ditunjukkan oleh White House itu adalah ucapan pendahuluan daripada kedua-dua pemimpin untuk berpuluh-puluh kamera televisyen dan berdozen-dozen wartawan dalam Bilik Kabinet di sayap kiri White House.

Ia hanya untuk kamera dan mendapatkan petikan suara bagi sekumpulan wartawan. Apa yang mereka perkatakan selepas itu adalah lebih mendalam, tidak seperti yang ahli politik pembangkang sangkakan, saya tidak akan membuat spekulasi apa yang dikatakan tepat kerana saya tidak berada bersama.

Para pemimpin pembangkang segera membuat kesimpulan berdasarkan transkrip dan video seolah-olah hanya itu sahaja yang berlaku.

Tetapi saya boleh mengesahkan transkrip ucapan pembukaan yang ditunjukkan adalah tepat kerana ketika itu saya di situ.

Pegawai protokol White House, David Solomon telah memberi taklimat bahawa kami hanya dibenarkan masuk ke Bilik Kabinet untuk ucapan pembukaan dan perlu meninggalkan sebelum mesyuarat sebenar bermula.

Transkrip yang dikeluarkan oleh White House adalah untuk memudahkan para wartawan yang hadir supaya mereka mendapat kenyataan yang betul. Seperti yang kita semua ketahui media AS tidak begitu mesra dengan Trump.

Oleh itu, transkrip berkenaan dikeluarkan untuk memastikan tidak ada seorang pun media AS boleh salah tafsir kenyataan Trump.

Tetapi, tidak ada satu pun media cetak AS yang menggunakan transkrip tersebut.

Apa-apa yang bagi baik pada Trump bukan berita untuk media cetak di AS.

Sebenarnya, mesyuarat dua hala antara pasukan AS dan Malaysia berlangsung selama 30 minit dan bukannya enam minit.

Kami juga diberitahu oleh pegawai akhbar daripada kedua-dua belah pihak bahawa dua pemimpin itu telah mengadakan pertemuan berasingan di Pejabat Oval yang berlangsung sekitar 20 minit.

Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melabur di pasaran ekuiti AS sejak tahun 2008 apabila undang-undang dipinda untuk membolehkan KWSP melabur di luar negara.

Ia adalah sebahagian daripada Akta Kawalan Modal yang diperkenalkan pada tahun 1998, KWSP sebelum ini tidak dibenarkan berbuat demikian.

Malah, KWSP telah melabur sejumlah AS$26 bilion sejak 2008 dan telah menghasilkan pulangan yang baik. Jika melihat pasaran di Malaysia dan membandingkannya dengan Amerika Syarikat selepas 2008, anda akan melihat bahawa ekuiti AS menawarkan pulangan yang lebih baik berbanding negara kita.

Saya berpendapat majoriti lebih 5.5 peratus dividen yang kita peroleh sejak tahun 2009 adalah daripada pelaburan luar negara yang dilakukan oleh KWSP.

Di KWSP terdapat satu jawatankuasa pelaburan KWSP yang berkedudukan tinggi yang terdiri dalam kalangan profesional yang dihormati.

Sekiranya Najib mempunyai kawalan ke atas KWSP maka KWSP perlu diminta untuk mendedahkan di mana dan apa yang mereka labur tetapi pelaburan KWSP adalah rahsia.

Mereka melakukan pergerakan keluar masuk wang dengan banyak di dalam dan di luar negara, jika KWSP memaklumkan bila dan apa yang dilaburkan, sudah tentu spekulator akan bertindak.

Selain daripada pulangan ke atas pelaburan, kita boleh katakan yang KWSP juga boleh terjejas teruk akibat penyusutan mata wang ringgit.

Memperkasakan ekonomi AS

Ini mungkin hanya memperlihatkan usaha Najib di hadapan pemimpin AS yang mahu “menjadikan AS hebat semula.”

KWSP sudah memutuskan apa dan di mana mereka akan melabur walaupun sebelum lawatan Najib dan keputusan itu berdasarkan pulangan dan bukan untuk memperkasakan ekonomi AS.

Semua sedia maklum bahawa Trump sejak kempennya berikrar untuk membina semula infrastruktur AS yang sudah lama, adalah antara keutamaannya.

Oleh itu, ia memang wajar untuk melabur dalam ekuiti dan dana yang akan mendapat manfaat daripada polisi beliau.

Jadi dalam erti kata lain, Malaysia akan membuat pelaburan dalam usaha menjadikan “AS hebat semula” tetapi semua orang lupa bahawa KWSP mungkin akan mengaut keuntungan yang banyak dengan berbuat demikian.

Lawatan Najib ke Washington mendapat perhatian kerana Malaysia turut tersenarai dalam negara-negara yang dikategori “Memperdaya Perdagangan” AS hingga menyebabkan defisit dagangan negara itu mencecah AS$50 juta.

Selain China, negara-negara lain yang telah disenaraikan ialah Jepun, Jerman, Mexico, Ireland, Vietnam, Itali, Korea Selatan, Malaysia, India, Thailand, Perancis, Switzerland, Taiwan, Indonesia dan Kanada.

Najib datang dengan mengetahui bahawa beliau perlu menunjukkan kepada Trump bahawa perdagangan adalah perkara dua hala.

Inilah sebabnya mengapa beliau memilih frasa “tindakan bernilai” apabila bercakap mengenai pelaburan.

Perdana-perdana Menteri Malaysia sebelum ini datang ke AS dengan niat untuk mendapatkan pelabur-pelabur ke Malaysia. Sebaliknya, Najib mahu menunjukkan kepada Trump bahawa dia tidak berada di sana untuk melakukan perkara yang sama.

Perjalanan kerja

Lawatan Najib ke White House adalah lawatan kerja atas undangan Trump. Ia kini menjadi lawatan rasmi atau negera. Setakat ini Trump tidak menjemput sesiapa sahaja ke Washington untuk lawatan rasmi atau negara.

Di luar formaliti, lawatan ini adalah mengenai perniagaan.

Trump memecah semua protokol apabila datang kepada Najib dan mengingatkan semua pegawainya dua kali “dia kawan saya”.

Kali pertama semasa Najib tiba. Protokol biasa Timbalan Presiden (dalam hal ini ialah Mike Pence) akan menerima kunjungan tetamu kehormat tetapi Trump memutuskan untuk menunggu Najib di pintu.

Ini merupakan kali pertama apabila Trump memberitahu pegawai protokolnya “dia adalah kawan saya”.

Kali kedua ketika Najib mahu balik. Biasanya Presiden AS akan melihat tetamunya dari pintu Pejabat Oval tetapi Trump berjalan bersama Najib hingga ke kereta.

Trump sekali lagi menyatakan “dia kawan saya.”

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kedua-dua pemimpin ini mula menjalinkan persahabatan ketika mereka bermain golf di salah satu padang golf milik Trump.

Gambar tersebut dengan tertera tulisan Trump “Untuk PM kegemaran saya” ada diletakkan di pejabat Najib.

Ya, kedua-duanya bercakap tentang golf ketika pertemuan ini tetapi tidak bermain kerana lawatan ini adalah dengan tujuan perniagaan.

Kenapa kemudian Najib memutuskan untuk menginap di Trump International Hotel?

Kerana ia adalah tempat terbaik di bandar dan kedudukannya hanya antara White House dan Bukit Capitol. Ia logik.

Trump berjanji apabila beliau menjadi presiden bahawa apa-apa keuntungan yang dibuat daripada para pemimpin pelawat yang tinggal di hotel itu akan disumbangkan kepada badan amal. Trump tidak membuat satu sen pun dari kedatangan Najib.

Jadi, lawatan itu berjaya? Bagi Najib, ia adalah kejayaan besar kerana mengenepikan cerita-cerita Jabatan Keadilan (DOJ) yang negatif tentangnya dan yang lebih penting, beliau memperbaharui persahabatannya dengan Trump.

Untuk Malaysia? Ia adalah perjalanan yang baik kerana Malaysia kini dalam peta untuk bersama AS dan Wasshington juga telah mengesahkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang komprehensif. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast