Beberapa anggota Polis Di Raja Malaysia menyimpan antara barang kes yang dirampas daripada tujuh suspek selepas sidang media berhubung perkembangan terbaru siasatan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mendapati segalanya bermula daripada ejekan semata-mata, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Mengikut siasatan, dipercayai kejadian itu berlaku beberapa hari sebelum insiden meragut 23 nyawa pelajar pusat tahfiz berkenaan.

“Motif ialah ejek mengejek daripada kedua pihak. Perselisihan faham, ejek diantara suspek dengan segelintir penghuni asrama tahfiz ini,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur malam ini.

Menurut Amar Singh, ketujuh-tujuh suspek yang ditahan petang semalam tidak bersekolah.

Dalam pada itu, beberapa barang rampasan antaranya tiga buah motosikal, lima helai baju, lima helai seluar dan empat topi keledar.

Ketujuh-tujuh suspek ditahan jam 6 petang semalam.

Kesemua mereka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 September depan.

Berdasarkan tangkapan itu, dua suspek mempunyai rekod jenayah atas kesalahan kes 148 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Amar berkata, kedua-dua tong gas yang terdapat di kawasan kejadian dibawa dari tingkat bawah ke tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan.

Dengan tertangkapnya kesemua suspek kes berkenaan, polis menganggap kes menyayat hati itu selesai dan menutup siasatan. -MalaysiaGazette.