Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima kunjungan Charge D'Affairs Korea Utara, Kim Yu Song di Johor Bahru hari ini. - pix Facebook JOHOR Southern Tigers.

JOHOR BAHRU – Malaysia dan Korea Utara memberi jaminan keselamatan kepada para pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam perlawanan pusingan akhir kelayakan AFC Asian Cup UAE 2019 peringkat Kumpulan B.

Jaminan itu diberikan pada pertemuan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menerima kunjungan Charge D’Affairs Korea Utara, Kim Yu Song di sini hari ini.

Menurut Facebook Johor Southern Tigers, pertemuan Tunku Ismail dan Yu Song itu bagi membincangkan hubungan dua hala selain isu semasa dunia serta perkara berkaitan perlawanan yang akan membabitkan kedua negara.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak memberi jaminan keselamatan para pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam perlawanan pusingan akhir kelayakan AFC Asian Cup UAE 2019 peringkat Kumpulan B.

Perbincangan tersebut membuahkan hasil yang sangat positif di mana pada masa yang sama, Tunku Mahkota Johor turut memberi ucapan antara dua pemimpin iaitu antara baginda dan pemimpin tertinggi Korea Utara.

Tunku Ismail turut diberi penghormatan istimewa iaitu kebenaran sepenuhnya untuk menggunakan ruang udara terus dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa sekiranya ingin melawat negara Korea Utara.

Ia merupakan satu penghormatan tertinggi kerana sebelum ini, mana-mana pihak di dunia ini adalah perlu untuk berhenti di Beijing, China terlebih dahulu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast