KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki warga tempatan yang melarikan RM600,000 dari bilik kebal sebuah bank di Damansara Hight di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid yang dihubungi StarOnline berkata, polis telah menjejaki rakaman pada kamera litar tertutup dan mengambil keterangan beberapa orang yang boleh membantu siasatan kes tersebut.

“Kita masih memburu suspek itu. Kita berharap orang awam boleh membantu polis mengesan suspek,” katanya kepada berita portal online itu.

Ruslan berkata, lelaki dikehendaki itu memasuki bank dan mendakwa diri sebagai juruteknik alat pemadam api.

Difahamkan bahawa suspek berpakaian seluar pendek dan memakai selipar.

Suspek memasuki bank sekitar 12.30 tengahari pada 8 September lalu.

Pengurus bank yang menghalang lelaki itu meminta suspek menunjukkan identitinya.

“Bagaimanapun pengurus itu melarang suspek memasuki bank meneruskan pemeriksaan pemadam api setelah lelaki itu gagal mengesahkan identitinya.

“Bagaimanapun setelah pengurus itu meninggalkan bank untuk makan tengahari, suspek berjaya memperdaya pegawai lain untuk memberi akses ke bilik kebal simpanan wang,” tegasnya.

Ruslan dalam perkembangan berkaitan menjelaskan pihaknya sedang mencari seorang lelaki berusia 30-an untuk membantu siasatan kes itu.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, supaya menghubungi pegawai penyiasat Superintendan Mohd. Hafizi di talian 017-233 6343 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di 03-9051 6222.

Orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline RakanCop 03-21159999 untuk Polis Kuala Lumpur, SMS ke32728 atau memaklumkan mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette