Home Dunia “Bunuh anak saya jika terlibat dengan dadah” – Duterte

“Bunuh anak saya jika terlibat dengan dadah” – Duterte

MANILA – Presiden Filipina mengarahkan polis membunuh anak lelakinya jika terbukti Paolo Duterte terlibat dalam perdagangan dadah.

“Arahan saya ialah jika mana-mana anak saya terlibat dengan dadah, bunuh sahaja mereka. Jadi orang lain tidak boleh cakap apa-apa tentang saya,” kata Rodrigo Duterte ketika berucap di hadapan kakitangan awam di Malacanang.

Paolo yang juga Naib Datuk Bandar Davao City ada dikaitkan dengan isu dadah.

Malah, Duterte berkata, beliau juga telah memaklumkan arahan tersebut kepada anaknya.

“Arahan saya supaya bunuh awak jika awak ditangkap kerana dadah dan saya akan melindungi polis yang membunuh awak,” tegas beliau.

Duterte mengeluarkan arahan itu kepada polis selepas Senator Antonuo Trillanes IV memaklumkan anak sulungnya adalah salah seorang ahli dalam kumpulan dadah Cina.

Naib Datuk Bandar itu juga sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan tertentu di Davao, turut didakwa memudahkan penyeludupan dadah di Biro Kastam.

Duterte telah berkali-kali berkata, beliau akan meletakkan jawatan jika ada anaknya akan terlibat dalam rasuah atau aktiviti haram yang lain. – MalaysiaGazette