Home Nasional Malaysia tandatangan MoU desak penembak MH17 didakwa

Malaysia tandatangan MoU desak penembak MH17 didakwa

Keadaan bangkai-bangkai pesawat MH17 yang bertaburan dan manjadi tumpuan orang ramai semasa tinjauan di lokasi tragedi MH17 terhempas di Ukraine. Krew MalaysiaGazette berada Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) Berhubung Sokongan Politik Untuk Mendakwa Penyerang Pesawat MH17 semalam.

Negara telah diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi memeterai perjanjian di kediaman rasmi Wakil Tetap Belanda ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Anifah berada di New York bagi menghadiri Sesi Ke-72 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang berlangsung hingga 26 September ini.

MoU itu turut ditandatangani oleh menteri-menteri luar Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine yang menubuhkan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bagi menyelaras siasatan jenayah melibatkan tragedi MH17 yang berlaku pada 17 Julai 2014.

Anifah berkata, MoU itu mengesahkan kesepakatan bersama untuk mencari keadilan dan akauntabiliti bagi memastikan penjenayah yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan seperti yang ditetapkan di bawah Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia tidak berbelah bahagi terhadap komitmennya untuk mendakwa pelaku yang bertindak menjatuhkan pesawat MH17 demi mendapatkan keadilan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka.

Menurut Anifah, Malaysia berpuas hati dengan penyiasatan JIT yang dipimpin oleh Belanda dan yakin pendakwaan di bawah undang-undang Belanda adalah pilihan yang paling sesuai untuk mendakwa pelaku ke peringkat pengadilan. – MalaysiaGazette