Home Ekonomi Singapore Press buang pekerja

Singapore Press buang pekerja

SINGAPURA – Singapore Press Holdings Ltd. yang memulakan semakan perniagaan media tahun lalu sedang menimbang untuk melaksanakan pengurangan kakitangan bagi menyusun semula organisasi itu.

Sebagai penerbit dominan, Singapore Press juga seperti kebanyakan pesaingnya berhadapan dengan media digital yang mengikis jumlah pembaca dan hasil pengiklanan.

Walaupun Singapore Press mempunyai kepelbagaian bisnes dari hartanah, telekomunikasi dan rumah kejururawatan, ia masih gagal menahan penurunan dalam pendapatan.

Keuntungan telah turun untuk enam suku berturut-turut, termasuk penurunan sebanyak 45 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Mei dari tahun sebelumnya.

Jurucakap syarikat itu, Chin Soo Fang enggan mengulas spekulasi pasaran.

Singapore Singapura mempunyai 4,473 pekerja sehingga akhir bulan Mei lalu dengan jumlah upah gaji sebanyak S$276 juta (AS$ 204 juta).

Pendapatan pada suku ketiga susut 11 peratus kepada S$260 juta.

Perniagaan medianya adalah satu-satunya segmen yang melaporkan penurunan jualan ketika pengiklanan menyusut.

Lantaran itu, pengurangan pekerja dirancang akan dibuat kurang dari sebulan selepas Ketua Pegawai Eksekutif Ng Yat Chung dilantik pada 1 September lalu.

Mediacorp, kumpulan berita utama yang menerbitkan akhbar Today memaklumkan pada bulan Ogos lalu bahawa ia akan menghentikan edisi cetakan. – MalaysiaGazette