Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Umat Islam dituntut supaya melakukan suatu tranformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang berteraskan ajaran Islam yang sebenar-benarnya dalam konteks hijrah pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini kerana, tuntutan hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

“Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan dari pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, persekitaran dan sebagainya.

“Perubahan ini mampu mengubah keadaan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan taraf hidup. Kini, negara kita telah mengalami banyak perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat yang lain yang lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1439H bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ malam ini.

Perutusan tersebut dimuat naik di laman blog beliau www.najibrazak.com.

Najib berkata, hakikatnya, kekuatan utama hijrah terletak pada aspek memulihkan dan mengekalkan perpaduan yang antara lain berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

“Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT, dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita menyambut Tahun Baru Hijrah 1439. Awal Muharam yang menandakan awal tahun Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam.

“Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Madinah adalah satu rancangan strategik dalam menyusun strategi bagi menjamin keselamatan dan kemenangan Islam dan mempertahankan agama Allah serta nilai-nilai murni Islam untuk jangka panjang,” katanya.

Perdana Menteri turut mengambil kisah sejarah keseluruhan perjuangan Rasulullah SAW yang sebenarnya adalah satu gabungan gerak langkah yang berasaskan prinsip-prinsip Islam iaitu sentiasa berikhtiar, sabar, istiqamah, dan reda.

“Hijrah Rasulullah SAW menandakan titik transformasi dalam kemajuan umat Islam. Hijrah melahirkan satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna, dan menyaksikan transformasi kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang mantap, bertenaga dan berkemampuan tinggi,” katanya.

Sesungguhnya, beliau berkata Islam telah berjaya membangunkan sebuah masyarakat dengan sistem pemerintahan tersendiri yang menjamin keselamatan umat Islam serta bukan Islam.

“Satu tamadun dan peradaban yang tinggi telah dapat dilahirkan dalam satu tempoh yang singkat,” katanya.

Najib berkata kejayaan hijrah pertama dalam sejarah Islam ini juga telah mengubah landskap akidah, ibadah, dan akhlak yang membina tamadun masa depan ummah seperti firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat ke 100 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Di akhir perutusan tersebut, bersempena dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, Najib menyeru umat Islam supaya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi pada hari ini.

“Semoga sambutan kita pada tahun ini lebih bermakna demi negaraku yang tercinta,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast