KUALA LUMPUR – Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia menyasarkan seramai 5,000 usahawan muda dari seluruh negara akan menyertai Kongres GMB 2017 pada November ini, melalui jerayawara yang dijalankan di setiap negeri.

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata jerayawara Kongres GMB 2017 telah bermula di Kelantan dan dijangka tamat pada 20 November.

Katanya perasmian penutupan kongres ini bakal berlangsung sama ada di Sabah atau Sarawak.

“Bagi jerayawara kali ini, kita akan ke dua tempat di setiap negeri dan tidak semestinya ibu negeri. Contohnya Terengganu, kita akan ke Dungun dan mungkin Kuala Terengganu, manakala Perak, kita mungkin akan ke Daerah Larut (Matang Selama).

“Jerayawara ini akan turut disertai oleh kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian seperti Halal Development Corporation, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation,” katanya kepada Bernama selepas majlis pra-pelancaran Kongres GMB 2017 baru-baru ini, di sini.

Melalui jerayawara ini, Agil berkata GMB akan mengenal pasti produk yang terbaik bagi tujuan pengkomersialan dan mengembangkan produk tersebut ke peringkat global.

Katanya GMB juga akan menggunakan pendekatan e-dagang untuk membantu usahawan dari kawasan yang agak terpencil bagi memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih besar.

“Kita juga mahu produk kita dikenali di mata dunia sebagai ‘Produk Malaysia’ seperti Korea Selatan dan Jepun. Produk dari kedua-dua negara ini seperti Ramen, Sushi dan sebagainya, begitu terkenal di seluruh dunia.

Negara seperti Jepun, kerajaan mereka mengamalkan sistem menyokong setiap syarikat tempatan yang menjual dan memasarkan produk Jepun ke negara luar. Di Malaysia juga terdapat produk tempatan yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara, seperti petai, yang terkenal di negara Eropah sebagai ejen anti-oksida,” katanya.

Agil berkata Malaysia turut mempunyai beberapa lagi produk yang ?eksklusif’ seperti gaharu dan tongkat ali, yang berpotensi mendapat permintaan antarabangsa jika dikomersialkan dengan berkesan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan mencadangkan Kongres GMB kali ini turut memfokuskan kepada industri 4.0 dan sektor e-dagang yang sedang pesat membangun di negara ini.

Beliau yang ditemui pada majlis yang sama menyarankan agar kongres ini turut menitikberatkan elemen Transformasi Nasional 2050 sejajar dengan objektif kongres ini yang menyasarkan kepada usahawan muda.

Kongres GMB 2017 adalah kesinambungan daripada Kongres Muda 2014 dan 2015 yang berjaya menghimpunkan lebih 7,000 usahawan dari seluruh negara dengan tema ?Ekonomi Satukan Kita? pada 2014, diikuti ‘Menuju Persada Dunia’ setahun kemudian.

Kongres GMB 2017 membawa kesempurnaan kepada tema yang terdahulu dengan semangat baharu, gema baharu dan minda baharu “Global Mindset Business”, yang akan membawa usahawan tempatan ke tahap pemikiran antarabangsa.

Kongres GMB 2017 akan mengetengahkan citarasa dan tarikan antarabangsa dengan pameran produk dan perkhidmatan antarabangsa seperti automotif, pembinaan, elektrik dan elektronik, fesyen dan gaya hidup, makanan dan minuman, perkhidmatan perbankan dan lain-lain.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast