Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan enam hari bermula 4 Jan 2018 untuk perbicaraan kes Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang didakwa menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji di dalam akaun Facebook miliknya.

Majistret Umzarul An Nur Umar menetapkan 4 dan 5 Jan 2018 serta 5 hingga 8 Feb tahun sama untuk perbicaraan ketika sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Mohd Rafizi memohon tarikh perbicaraan baharu berikutan peguam utama Gobind Singh Deo tidak berkelapangan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada 28 Nov kerana mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek.

Mohd Rafizi didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ di dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada kira-kira 9 pagi, 8 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

 

Comments are closed.