Home Dunia Wanita Arab Saudi dibenarkan memandu

Wanita Arab Saudi dibenarkan memandu

Wanita Arab Saudi dibenarkan untuk memandu kereta. foto Agensi

RIYADH – Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan kaum wanita memandu kenderaan.

Kebenaran itu dikeluarkan oleh Raja Salman.

Susulan itu, kementerian-kementerian kerajaan diminta menyediakan laporan dalam tempoh 30 hari dan mengarahkan kebenaran itu dilaksanakan pada Jun 2018, menurut Saudi Press.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara di dunia yang menghalang wanita memandu.

Di bawah peraturan sedia ada hanya golongan lelaki sahaja dibenarkan memiliki lesen memandu manakala wanita yang memandu secara terbuka akan ditangkap dan didenda.

Lantaran itu, kebanyakan keluarga Arab Saudi terpaksa menggaji pemandu peribadi untuk membawa penumpang wanita.

Kumpulan hak asasi di Arab Saudi telah melancarkan kempen bagi membenarkan wanita memandu sejak bertahun lalu apabila ada segelintir wanita yang dipenjara kerana melanggar peraturan tersebut.

“Dikri diraja itu akan dilaksanakan dengan peruntukan peraturan trafik termasuk pengeluaran lesen memandu bagi lelaki dan wanita,” kata Saudi Press

Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Putera Khaled Salman berkata, keputusan itu merupakan satu sejarah tetapi ia dibuat pada waktu yang tepat.

Beliau mengesahkan semua wanitta tidak perlu mendapat kebenaran daripada penjaga lelaki untuk belajar memandu dan boleh memandu di mana mereka suka. – MalaysiaGazette