KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak mencabut bendera Pas yang dipasang petugas Fastaqim 2.0 di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini.
Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hasan, bendera parti itu dipasang bertujuan untuk menyambut kedatangan ahli dan penyokong Pas dari seluruh negara ke Terengganu selain turut memeriahkan suasana Fastaqim 2.0.
“Sebentar tadi saya dimaklumkan bendera Pas yang dipasang oleh para petugas Fastaqim 2.0 di atas Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu telah dicabut oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurutnya, PBT berkenaan tidak membenarkan sebarang bendera dipasang di atas jambatan itu dan penguatkuasa telah mencabutnya.
Kata beliau, bagi pihak Ahli Jawatankuasa Fasraqim 2.0, mereka akur dengan larangan itu dan akan mengambil semula bendera berkenaan untuk dipasangkan di lokasi yang dibenarkan seperti sekitar jalan masuk Pantai Tok Jembal
“Sebagai Pengerusi Fastaqim 2.0, saya harap semua petugas yang telah bertungkus lumus membuat persiapan dan menceriakan suasana himpunan ini bersabar berdepan dengan situasi ini.
“Jangan ambil sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dengan pihak berkuasa tempatan yang telah menjalankan tugas mereka.
“Kita tidak mahu mencetus pertikaian dengan mana-mana pihak, sebaliknya kita mahu semua pihak termasuk penjawat awam dapat hadir menyertai himpunan Fastaqim 2.0 dengan selesa, aman dan harmoni,” ujar beliau.
Kata Nasrudin, Fastaqim 2.0 adalah Himpunan Mesra Keluarga, Himpunan Rakyat Sejahtera, Himpunan kasih Sayang Himpunan Damai dan Himpunan Persahabatan.
Justeru, beliau mahu fokus kepada persiapan himpunan itu yang hanya tinggal separuh hari sahaja lagi.
“Kita harap pihak berkuasa tempatan juga dapat banyak bertolak ansur dengan kita selaku penganjur.
“Sebetulnya, Fastaqim 2.0 yang bakal menggamit 200,000 peserta dari seluruh negara ini turut menjayakan Tahun Melawat Terengganu dan secara tidak langsung membuka peluang rezeki kepada Terengganu khasnya bagi penduduk tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette