Home Utama Cuepacs minta bonus sebulan setengah bulan dalam Bajet 2018

Cuepacs minta bonus sebulan setengah bulan dalam Bajet 2018

Azih Muda

BANGI – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan suatu berita gembira buat semua penjawat awam di negara ini pada Perbentangan Bajet 2018 bulan depan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, badan penjawat awam itu berharap agar kerajaan mempertimbangkan usul pemberian bonus sebulan setengah kepada penjawat awam.

Ia sebagaimana yang pernah dibangkitkan Cuepacs kepada Najib sebelum ini.

“Lebih nyata sekali adalah harapan yang begitu tinggi oleh penjawat awam sama ada bonus kepada kakitangan awam ada atau tidak?.

“Sebab itu harapan Cuepecs kerajaan tidak akan mengecewakan penjawat awam pada Bajet kali dengan tidak mempertimbangkan bonus kepada mereka.

“Kerajaan lebih faham harapan kita. Dulu kita minta bonus tiga bulan, dua bulan tapi sekarang Cuepacs minta sebulan setengah pun jadilah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak) ke 42 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini.

Untuk Bajet 2018 , Ceupacs sudah menyerahkan satu memorandum supaya kerajaan dapat memberikan pertimbangan kepada pelbagai perkara yang dituntut oleh badan penjawat awam ini.

Cuepacs sebelum ini memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Jika diluluskan, kenaikan itu akan membantu meringankan beban 62,000 penjawat awam dalam kategori B40 yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Cuepacs dalam satu kenyataan semalam turut meminta kerajaan mempertimbangkan insentif 2 kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Inisiatif itu katanya akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.

Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95.

Ini kerana kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

Untuk rekod, terdapat 1.602 juta penjawat awam di negara ini yang berkhidmat kepada kerajaan dalam pelbagai sektor. -MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.