LUMUT – Dua lagi lelaki ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan kes kecederaan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika di dalam bilik tahanan di Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini minggu lepas.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid di Mahkamah Majistret yang membenarkan kedua-dua tertuduh berusia 29 dan 37 itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju lokap, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki trak polis sebelum keluar semula 30 minit kemudian.

Semalam, mahkamah sama turut membenarkan dua anggota TLDM masing-masing berumur 29 dan 37 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula 2 Okt untuk membantu siasatan kes kecederaan itu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan penahanan reman kedua-dua suspek dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Penahanan mereka berempat adalah susulan dua anggota TLDM membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kecederaan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi baru-baru ini.

Dua anggota yang cedera itu kini ditempatkan di bilik khas di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Jumaat lalu, dua anggota TLDM lain yang ditahan di bilik tahanan Unit Sungai Wangi, meninggal dunia, dipercayai akibat didera berdasarkan laporan bedah siasat hospital.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast