Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – UOB Global Economics & Market Research mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada tahun ini dan 5 peratus pada 2018.

Dalam nota ringkas mengenai Bajet 2018, Pakar Ekonomi UOB Malaysia, Julia Goh berkata, fokus akan diberikan kepada segmen pendapatan rendah dan sederhana memandangkan ini merupakan bajet terakhir sebelum pilihanraya.

Menurut Julia, bajet akan meneruskan momentum perbelanjaan infrastruktur utama susulan penganugerahan projek dan pengumuman-pengumuman mengenainya dilakukan.

Tambah beliau, perolehan kerajaan akan ditambah menerusi asas cukai yang lebih luas kepada penyedia perkhidmatan digital asing serta usaha-usaha dilakukan bagi memastikan pembayar cukai tidak lari daripada tanggung jawab mereka.

Katanya, harga minyak dan komoditi yang lebih tinggi dijangka boleh menjadi penampan perolehan.

“Kombinasi di antara perolehan yang lebih tinggi dengan perbelanjaan bersasar membolehkan kerajaan mengecilkan defisit sebanyak -2.9 peratus daripada KDNK pada 2018 berbanding -3.0 peratus pada 2017. Ini juga merupakan tahun kesembilan dalam pengurangan defisit,” katanya.

Julia menjangkakan bajet 2018 kekal besar namun kerajaan dilihat masih mengekalkan perbelanjaan berhemah dengan memberi fokus kepada golongan sasar seperti segmen berpendapatan rendah dan menengah.-MalaysiaGazette