KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden tembakan di Las Vegas, Nevada pada Ahad lalu yang telah meragut 59 nyawa dan mencederakan lebih 515 orang.

Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Amerika Syarikat, terutamanya kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Kementerian Luar menyatakan, laporan awal mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini berkenaan insiden tersebut.

Rakyat Malaysia yang mempunyai maklumat atau memerlukan sebarang bantuan boleh menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles menerusi talian +1-213- 447-9404 atau +1-626- 277-1473 atau Emel [email protected] – MalaysiaGazette