Sarah Huckabee Sanders

WASHINGTON – White House menolak rundingan isu nuklear dengan Korea Utara.

Sebaliknya Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk membincangkan mengenai nasib warga Amerika yang berada di Pyongyang.

Amerika Syarikat juga menolak kenyataan Setiausaha Negara, Rex Tillerson sebelum ini yang menyatakan bahawa Washington berkomunikasi secara lagsung dengan Pyongyang mengenai program nuklear dan peluru berpandu yang dirancang Korea Utara.

“Kami sangat jelas bahawa kini bukan masanya untuk berunding.

“Satu-satunya perbualan yang diteruskan ialah untuk membawa pulang rakyat AS yang terperangkap di Pyongyang.

“Selain daripada itu, tidak ada sebarang perbualan atau rundingan akan diteruskan dengan Korea Utara buat masa ini,’ menurut jurucakap White House, Sarah Huckabee Sanders kepada pemberita.

Pada Sabtu lalu, Tillerson yang dalam lawatan ke China berkata, AS berkomunikasi secara langsung dengan Korea Utara mengenai program peluru berpandu dan nuklear tetapi mendakwa Pyongyang tidak berminat untuk berdialog.

Presiden Donald J. Trump mengutuk dan mengancam pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sejak beberapa minggu lalu, menolak sebarang proses rundingan dengan negara kuku besi itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa.

“Saya memberitahu Rex Tillerson, bahawa dia membuang masa cuba berunding dengan little rocket man,” tulis Trump dalam akaun twitternya, merujuk Jong-un dengan panggilan sarkastik.

“Jimatkan tenaga kamu, Rex, kami akan bertindak apa yang patut,” tulis Trump lagi.

Ditanya sama ada Trump masih berkeyakinan ke atas Tillerson sebagai Setiausaha Negara, Sanders yang mempertahankan kenyataan Trump itu berkata: “Dia (Trump) yakin,”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast