Home Nasional USIM mahu bertemu Duta Oman

USIM mahu bertemu Duta Oman

NILAI – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, beliau mahu bertemu Atase Kebudayaan Oman untuk mendapatkan penjelasan bersabit larangan ke atas pelajar negara itu daripada mengikuti pengajian di USIM.

“Saya harap mendapat penjelasan daripada beliau sendiri tentang mengapa USIM dikategorikan dalam empat universiti di Malaysia yang pelajar Oman dihalang mengikuti pengajian,” katanya kepada pemberita.

Dilaporkan larangan turut melibatkan Universiti SEGI, Limkokwing Universiti Teknologi Kreatif dan Binary University of Management & Entrepreneurship yang antara lain dikatakan universiti-universiti ini tidak bekerjasama dalam menyelesaikan kesukaran yang dihadapi pelajar Oman.

Musa berkata, perkara berkenaan sangat mendukacitakan USIM dan menggambarkan seolah-olah USIM tidak mempunyai kualiti.

“Pada hari pertama berita ini tersebar, saya telah mengadakan perbincangan dalaman. Malah saya sudah berjumpa dengan beberapa pemimpin pelajar Omar yang menuntut di sini dan mereka menunjukkan sokongan padu kepada USIM dan mereka sendiri tidak nampak logik larangan itu.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Oman selama ini dan berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin. Kita sentiasa bersedia untuk membuat penambahbaikan kepada kekurangan yang ada tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” katanya.

Beliau berkata, kini terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktr Falsafah dalam pelbagai bidang di USIM. – MalaysiaGazette