Senator Datuk M.Sambanthan (tengah) selepas sidang media menjelang Perhimpunan Agung IPF ke-25 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Oktober di MAEPS Serdang.
KAJANG – Bukan setahun dua tetapi sudah 27 tahun parti IPF berusaha untuk menganggotai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.
Walaupun, hampir 12 anggota komponen BN termasuk UMNO menyokong dan bersedia menerima IPF namun ketiadaaan persetujuan dari satu parti utama mewakili kaum India, MIC membuatkan hasrat itu belum kesampaian.
Presiden IPF, Senator Datuk M. Sambanthan kali ini menaruh keyakinan tinggi partinya akan diterima komponen BN tidak lama lagi.
Katanya, sebelum ini Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah bersetuju untuk menerima IPF dalam BN dan berjanji berunding dengan MIC untuk mendapatkan persetujuan.
“Dua tahun lepas PM sendiri telah membawa isu ini kepada pandangan MIC dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam meminta tempoh masa untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan ahli majlis teringgi MIC.
“Dua bulan lepas saya sekali lagi jumpa Subramaniam secara bersemuka dan mendapatkan semula pendirian beliau dan Menteri Kesihatan itu berjanji akan dipertimbangkan dan meminta sedikit lagi masa.
“Ini menambah harapan kami IPF untuk diterima sebagai komponen BN tidak jauh dan ia wajar memandang perjuangan parti selama 27 tahun bersama BN dan Najib perlu diiktiraf,” katanya.
Jelas beliau, kata-kata Subramaniam memberi harapan kepada IPF untuk terus menggerakkan jenteranya.
“IPF tidak pernah mendiskriminasi calon-calon MIC, kita terima mereka atas semangat konsensus BN sebagai calon kami dan berkempen dan memenangkan mereka dalam beberapa PRU lepas.
“Walaupun IPF masih berstatus rakan BN, tetapi kami tetap setia dan mematuhi semangat konsensus BN dibawah kepimpinan Najib serta para menteri besar negeri yang turut tidak pernah menafikan sumbangan IPF,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Tahunan IPF ke-25 yang akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada 8 Oktober ini.
Katanya, pelantikan beliau sebagai ahli Dewan Negara pada Isnin lalu memberi semangat baharu kepada IPF untuk menggandakan segala usaha ahli dan pemimpin parti untuk memukatamdkan kemenangan besar BN pada PRU-14.
Katanya, Perhimpunan Agung IPF kali ini akan dirasmikan oleh Najib selaku Pengerusi BN, pada pukul jam 3 petang selain Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen dan rakan mesra BN lain.
Justeru, katanya, topik persiapan menjelang PRU-14 akan menjadi topik utama parti selain pelancaran jentera pilihanraya IPF.
Katanya secara asasnya parti sudah mengerakkan sayap pemuda wanita IPF di setiap negeri seluruh negara untuk mendati dan meraih sokongab pengundi dan proses mendaftar pengundi baharu serta muda.
“Pada kali ini seramai 3,000 perwakilan kami akan hadir untuk mendengar amanat perdana menteri menjelang PRU-14.
“Selain itu, parti juga akan mengemukakan usul kepada PM supaya mempertimbangkan peluang IPF untuk bertanding di dua Parlimen Kapar dan Hulu Selangor dan empat Dewan Undangan Negeri di Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
“IPF mempunyai sokongan kuat pengundi untuk BN di DUN Bukit Selambau, Kulim Seri Andalas dan Jerai Padang yang sememangnya kubu kuat.
“Ini tidak bermakna kami meminta kerusi tradisi komponen tetapi mengharapkan peluang di kawasan boleh menang yang mempunyai pengaruh IPF dan apa pun kami tetap akan menyokong mana-mana calon BN,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.