Home Nasional Kompleks Haji KLIA beroperasi tahun depan

Kompleks Haji KLIA beroperasi tahun depan

SEPANG – Semua urusan haji di Kompleks Haji Kelana Jaya berpindah ke Kompleks Haji KLIA pada tahun 2018.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kompleks baharu itu dijangka siap pada akhir tahun ini.

Menurutnya, kompleks itu akan memudahkan urusan perjalanan jemaah kerana kedudukannya 10 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Tahun ini adalah terakhir jemaah haji berkumpul di Kelana Jaya dan selepas ini semua urusan akan dilakukan di Kompleks Tabung Haji KLIA,” katanya selepas menyambut ketibaan 268 jemaah haji terakhir di KLIA.

Kompleks baharu ini lebih selesa, dibina atas kawasan seluas lima hektar turut dilengkapi hotel bertaraf empat bintang dan mempunyai lebih 550 petak letak kereta.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez memberitahu, surat tawaran bagi menunaikan haji pada tahun depan akan mula dikeluarkan selewat-lewatnya November ini.

Tawaran itu akan dibuat secara berperingkat sehingga Mei 2018. – MalaysiaGazette