Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Waris Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, di Kelab Raintree, Kuala Lumpur, hari ini. foto IQBAL BASRI, 06 OKTOBER 2017.
KUALA LUMPUR – Kesediaan MCA menghulurkan bantuan kepada waris keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat menunjukkan Malaysia masih mempunyai keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama.
 
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesediaan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut serta membantu walaupun tidak seagama sebagai satu simbolik kepada beliau dan rakyat kawasannya.
“Saya tertarik dengan pertolongan ini kerana ia amat simbolik bagi saya dan wakil rakyat di Parlimen Titiwangsa.
“Ini kerana satu parti walaupun bukan beragama Islam, tapi isu melibatkan kebakaran sekolah tahfiz ini mereka datang mengambil berat dan melihat bagaimana boleh membantu mangsa.
“Ini menunjukkan bahawa Malaysia ini mempunyai rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya, bila ada bencana seperti ini, semua tidak kira agama datang membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Waris Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, di Kelab Raintree, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi MCA Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Alex Chuah Poh Khiang, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tititwangsa dan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Datuk Keramat, Mohd Zahid Mahmod.
Pada majlis sama, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut memberi  sumbangan RM100,000 kepada pusat tahfiz berkenaan bagi membiayai kos membaik pulih sekolah berkenaan yang terjejas teruk dalam insiden kebakaran pada 14 September lalu.
Sementara itu, Tiong Lai turut melahirkan rasa sedihnya terhadap insiden yang meragut 23 nyawa pelajar dan warden pusat tahfiz berkenaan dalam satu kebakaran besar.
Beliau juga mengalu-alukan tindakan pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengarahkan agar semua sekolah tahfiz dinaik taraf sistem keselamatan dan sistem pendawaian.
“Saya rasa ini satu tindakan yang cukup penting untuk kita sama-sama menjaga keselamatan anak-anak kita di sekolah
“Saya juga menyahut seruan Datuk Seri Johari dan saya sendiri juga akan membuat lawatan di sekolah-sekolah tahfiz di kawasan saya untuk membantu sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette