Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berucap pada Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bersama pengamal Media di Hotel Putra, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pemerhati Ra­suah Malaysia (MCW) mendakwa cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) adalah langkah untuk beliau kekal dalam kerajaan.

Menurut Presidennya, Jais Abdul Karim, tindakan itu berdasarkan karier beliau yang sudah berada di penghujung kerana sudah dilantik sebanyak dua kali sebagai Senator Dewan Negara sejak 2013.

“(Kami dapat) maklumat menjelang PRU14, beliau sudah habis dua penggal sebagai Senator, jadi (beliau) perkenal nak jadi konsultan dan jadi penasihat kepada Perdana Menteri.

“Dan ini adalah pelan persaraan beliau untuk terus kekal (dalam kerajaan),” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama media di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, MCW antara 50 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyerahkan petisyen rakyat bagi menyatakan sokongan penuh terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membantah penubuhan JITN.

Langkah itu bagi membantah tindakan kerajaan menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Jabatan Perdana Menteri menjadi JITN.

Jais berkata, semenjak Paul Low dilantik sebagai menteri, indeks rasuah di negara ini tidak langsung turun, malah terus meningkat.

“Setiap tahun (beliau) umum status negara dalam indeks persepsi rasuah dunia (semasa menjadi Presiden Transparency International Malaysia).

“Tapi sejak jadi menteri yang memegang portfolio anti rasuah dan integriti negara, kedudukan negara makin menggelungsur, sepatutnya beliau tahu macam mana nak naikkan,” katanya.

Paul Low pada 27 September lalu, membuat cadangan penubuhan JITN bertujuan menerajui perubahan transformasi dalam bina upaya institusi, terutama dalam kalangan penjawat awam.

Cadangan itu pantas mendapat tentangan hebat daripada SPRM.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, penubuhan jabatan baharu itu boleh mengganggu kebebasan SPRM dalam menjalankan kerja-kerja membasmi rasuah serta salah guna kuasa.

Malah, menurut beliau, penubuhan JITN juga tidak selari dengan dasar kerajaan dan rakyat yang mahu melihat SPRM menjalankan tugas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Dzulkifli turut bimbang wujud persoalan seolah-olah SPRM akan dikawal dalam melaksanakan tugas menerusi penubuhan JITN. -MalaysiaGazette.