Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) menunjukkan plak Akta Insolvensi 1967 sambil diperhatikan Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Rahman Putra Taha (kanan) dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal (kiri) pada Majlis Pelancaran Tarikh Kuat Kuasa Akta Insolvensi 1967 di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2017.

BANGI – Kerajaan menyasarkan untuk melepaskan kira-kira 50,000 golongan berstatus bankrap di negara ini menjelang akhir tahun 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sasaran tersebut terdiri daripada golongan kurang upaya yang meninggal dunia, penghidap penyakit kronik dan penjamin sosial.

“Tahun lepas, kita sasar untuk lepaskan 10,000 daripada status bankrap, RM1.2 juta (peruntukan) sudah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Untuk tujuan tersebut, seramai 65 orang pekerja sambilan diambil untuk tujuan pentadbiran pelepasan kebankrapan tersebut,” katanya dalam sidang media di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Tambah Azalina, langkah progresif tersebut terpaksa diambil berikutan bilangan golongan bankrap yang semakin kronik terutama daripada golongan bawah 40 tahun di negara ini yang boleh membawa implikasi negatif kepada ekonomi negara.

Terdahulu, Azalina merasmikan Majlis Pelancaran Tarikh Kuatkuasa Akta Insolvensi 1967 di Auditorium Fakulti Undang-undang UKM.

Pada 29 Mac lalu, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 yang me­rangkumi lapan perubahan dasar selepas dibahaskan.

Semasa membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua, Azalina berkata, kerajaan telah mempertimbangkan lapan perubahan dasar untuk meminda akta itu.

Katanya, lapan dasar itu ialah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil terhadap penjamin sosial, me­­naikkan nilai minimum kebankrapan dan seseorang yang bankrap boleh dilepaskan awal daripada status kebankrapan selepas tempoh tiga tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal. -MalaysiaGazette.